Empat remaja ditahan babit kes rogol kanak-kanak perempuan 11 tahun

Berita Perak

TELUK INTAN: Polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada Rabu dan Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, Balai Polis Langkap menerima laporan berhubung kejadian itu pada Khamis sekitar 12.26 tengah hari.

Ujarnya, laporan itu dibuat oleh seorang pelajar sekolah di Teluk Intan yang mengatakan dirinya dirogol empat orang suspek.

“Menurut mangsa, suspek pertama dan kedua telah merogol mangsa pada 17 Julai jam 6.30 petang secara bergilir-gilir di dalam kereta.

“Kejadian berlaku ketika mangsa bersama suspek keluar bermandi-manda di kawasan air terjun.

“Suspek ketiga telah merogol mangsa pada 18 Julai jam sekitar 8.30 malam, ketika dia mengikuti suspek pulang ke rumahnya di sekitar daerah
Hilir Perak.

“Manakala, suspek keempat merogol mangsa pada 18 Julai jam 12.30 tengah malam dekat kawasan semak di daerah Teluk Intan, semasa mangsa dan suspek keluar bersiar-siar,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Ahmad Adnan menambah, susulan itu, pada Khamis sekitar 3 petang hingga 10 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak berjaya menangkap empat suspek tersebut.

Katanya, empat lelaki itu merupakan warga tempatan berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza sekitar Teluk Intan bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat awal yang dijalankan, suspek mengaku terlibat dengan perkara ini.

“Suspek pertama dan ketiga, masing masing berusia 16 dan 17 tahun sudah tidak bersekolah manakala suspek kedua dan keempat berusia 14 dan 17 tahun masih bersekolah.

“Kesemua suspek berasal dari Teluk Intan dan saling kenal antara satu sama lain,” katanya lagi.

Justeru itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tempoh penahanan reman telah dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan terhadap suspek selama tiga hari mulai Jumaat hingga 21 Julai.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka khasnya anak perempuan.

“Supaya mereka tahu dengan siapa anak mereka keluar dan ke mana lokasi yang dituju, bagi memastikan tidak terlibat dengan gejala negatif,” katanya lagi.