Dua pusat hiburan di Ipoh diserbu, 30 warga asing dicekup

Berita Perak

IPOH: Seramai 30 orang warga asing ditahan dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di bandar raya Ipoh oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak pada Rabu malam.

Menurut Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, operasi itu dijalankan di pusat hiburan dekat Jalan Foo Yet Kar dan Jalan Lau Ching oleh Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Perak.

Katanya, seramai 69 orang warga Malaysia dan pelbagai warga asing yang sedang leka berhibur telah diperiksa.

“25 orang Pegawai Imigresen terbabit dalam operasi di dua pusat hiburan itu.

“Hasil pemeriksaan, 30 orang warga asing ditahan kerana didapati dengan sebab munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Warga asing yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan 27 wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua ditahan merupakan (1) lelaki dan (4) wanita warga Thailand, (3) wanita Indonesia, (19) wanita Vietnam, (2) lelaki Myanmar dan (1) wanita Kemboja.

Sehubungan itu katanya, kesemua 30 warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama iaitu telah tinggal / berada di Malaysia selepas tempoh sah permit yang dikeluarkan tamat dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan- peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Meor Hezbullah berkata, pihaknya juga meminta pelanggan serta saksi di tempat kejadian untuk hadir ke pejabat Imigresen Perak bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, siasatan terhadap pemilik premis dan majikan yang bertanggungjawab mengambil warga asing bekerja juga akan diteruskan di bawah Seksyen 55(B) atau Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63.