TANJUNG MALIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menembak mati dua penjenayah warga tempatan yang dikehendaki dalam kejadian berbalas tembak di susur keluar dari Proton City ke pekan Tanjung Malim, pada pagi Khamis.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kejadian bermula sekitar jam 5.20 ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak membuat rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim di sekitar Tanjung Malim.
Menurutnya, semasa rondaan, mereka ternampak sebuah kereta yang mencurigakan dan mengarahkannya berhenti, tetapi kereta tersebut memecut laju.
Pihak polis telah mengejar kereta suspek sejauh empat kilometer sebelum kenderaan itu terbabas ke bahu jalan.
“Suspek yang pertama melepaskan satu das tembakan dari dalam kereta dan mengenai kenderaan polis yang berada di hadapan kenderaan suspek.
“Suspek itu keluar dari kenderaan dan melepasan satu das tembakan dan mengenai lampu kenderaan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Slim River pada Khamis.
Menurutnya, suspek kedua pula keluar dari kenderaan dengan memegang sebilah parang panjang dan menyerang anggota polis yang berada di belakang kereta suspek.
“Pihak polis telah bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke atas kedua-dua suspek.
“Kedua-dua suspek telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Zulkafli berkata, polis turut menjumpai dan merampas beberapa barangan, antaranya sepucuk pistol SIG SEUER, sebutir peluru 9mm dalam kelopak dan sebutir di dalam chamber, dua bilah parang panjang, enam butir kelongsong peluru 9mm, pemotong besi dan dua plat pendaftaran.
Menurutnya, suspek lelaki pertama berumur 29 tahun mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah manakala suspek lelaki kedua berumur 37 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
Katanya, dengan kejayaan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah di sekitar Tanjung Malim.
Bagaimanapun, polis masih meneruskan usaha untuk mengesan beberapa lagi rakan sejenayah suspek yang telah aktif sejak awal 2023.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.