Dua minggu selesai pertikaian CA pekerja, majikan kilang simen

Berita Perak

IPOH: Pihak pengurusan Tasek Corporation Berhad dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Simen Semenanjung Malaysia Cawangan Tasek diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan pertikaian mengenai Perjanjian Bersama (CA) yang luput pada Jun 2022.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, sekiranya gagal mencapai persetujuan, Jabatan Perhubungan Perusahaan akan memulakan proses perbincangan perdamaian.

Menurutnya, pertikaian bermula apabila kedua-dua belah pihak gagal mencapai kata sepakat mengenai 11 daripada 44 perkara di dalam perjanjian itu kerana ia melibatkan implikasi kewangan, seperti elaun syif, perumahan dan perlindungan perubatan.

“Selepas perbincangan selama lebih kurang 40 minit, majikan telah bersetuju untuk berbincang semula dengan kesatuan.

“Jadi pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan telah menetapkan 2 hb Mei untuk perbincangan perdamaian.

“Tetapi sekarang yang 2 Mei telah dilapangkan dan mereka akan mula balik untuk perbincangan di antara majikan dengan kesatuan dan kita telah pilih dua minggu, tempoh dua minggu untuk menamatkan.

“Kalau dalam dua minggu menamatkan, maka Jabatan Perhubungan Perusahaan akan mulakan dengan proses perbincangan perdamaian,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan wakil majikan, kesatuan dan jabatan yang berkenaan di kilang berkenaan di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira jam 7.15 pagi, hampir 100 pekerja kilang tersebut mengadakan piket secara aman di hadapan pintu masuk tempat mereka bekerja bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan majikan mereka.

Bagaimanapun, piket yang dijadual pada sebelah petang dibatalkan susulan perbincangan yang diadakan yang dipengerusikan Sivanesan. nk