Dua beradik cedera, pokok tumbang hempap rumah, kenderaan di Selama

Berita Perak

LARUT: Dua beradik cedera apabila rumah mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Menteri, Selama, dekat sini, petang Rabu.

Mangsa lelaki yang berumur 13 tahun dan kakaknya berumur 15 tahun dikatakan berada di ruang tamu rumah mereka apabila kejadian itu berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat disertai ribut turut menghempap sebuah kenderaan serba guna jenis Toyota Avanza dan sebuah motosikal.

Menurut beliau, pihaknya menerima penggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.17 petang.

“Kejadian melibatkan sebatang pokok bersaiz dua pemeluk yang tumbang menghempap sebuah rumah dan kenderaan.

“Terdapat dua orang mangsa mengalami kecedeaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Selama oleh ibu bapanya sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, rumah kelas B berkeluasan 40 X 40 kaki persegi itu rosak 50 peratus di ruang tamu.

Katanya, pokok yang tumbang dipotong dan dialihkan bagi memastikan tiada lagi risiko.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Amir Hamzah Abdul Majid tamat jam 6.33 petang.