Dinding Pasaraya Mydin Manjoi yang terbakar runtuh, dua cedera terkena serpihan

Berita Perak

IPOH: Dua cedera terkena serpihan batu bata selepas dinding Pasaraya Mydin Manjoi yang terbakar Mac lalu, runtuh dalam kejadian petang ini.

Mangsa yang sedang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut ketika kejadian berlaku, telah dihantar ke hospital oleh orang awam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 4.45 petang.

“Runtuhan melibatkan dinding sebelah kanan (bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta) dan melibatkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan Pasaraya Mydin.

“Kejadian melibatkan dua orang mangsa yang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, setakat ini pihak bomba tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua mangsa.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Khairudin Hussein tamat jam 5.32 petang.

Pada 10 Mac lalu, kebakaran besar berlaku di Pasaraya Mydin di Manjoi, yang memusnahkan pusat membeli belah berkenaan.

Kebakaran yang bermula kira-kira pukul 7.09 malam disahkan berpunca daripada panel pembahagi elektrik (electrical distribution board) di stor pasar raya itu.

Jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan kira-kira RM50 juta tetapi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, anggaran itu mungkin bertambah setelah proses penilaian dilakukan.