IPOH: Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) yang dilancarkan sejak lima tahun lalu, berjaya melonjakkan ramai anak seni Perak sehingga ke persada antarabangsa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri
Saarani Mohamad berkata, setakat lebih RM1 juta telah diluluskan kepada hampir 250 orang anak seni di negeri ini.
Menurutnya, dana itu merupakan satu bentuk sokongan kewangan kepada para penggiat seni dan usahawan kreatif tempatan untuk menjalankan projek ataupun program berpaksikan budaya dan warisan serta kandungan tempatan.
“Ia juga merupakan strategi serampang dua mata, iaitu selain membantu penerima menyiapkan projek, program dan penghasilan mereka, ia juga berupaya menonjolkan kelebihan Perak sebagai negeri kreatif dengan barisan penggiat yang berbakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) di pejabatnya di sini, hari ini
Beliau berkata, sumbangan penggiat seni amat penting untuk memperkayakan ekosistem budaya dan warisan negeri dalam bentuk pemahaman serta kemahiran.
Menurutnya, dengan menyediakan sokongan kewangan, kerajaan negeri berharap ia dapat mengilhamkan generasi pencipta seterusnya menggalakkan penghasilan karya seni yang berkualiti.
Katanya, hampir RM300,000 dana yang disediakan tahun lalu telah
menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan 141 permohonan.
Bagaimanapun, ujarnya, hanya 87 permohonan yang berjaya berpandukan kertas cadangan yang dikemukakan.
“Penyediaan jumlah dana yang semakin meningkat pada setiap tahun jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan industri serta memperkasa imej sebagai pusat kreativiti dan inovasi seni,” tambahnya.
Beliau berharap industri seni negeri Perak akan memberi impak positif kepada masyarakat, selain menerima pengiktirafan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.