Cemerlang Sekuriti giat laksana CSR, kebajikan di Perak

Berita Perak

IPOH: Syarikat Kawalan Keselamatan, Cemerlang Sekuriti (M) Sdn Bhd giat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Perak.

Pengurus Cawangan Cemerlang Sekuriti Perak, Datuk S Tharmaya berkata, program tersebut menjadi keutamaan selain separuh keuntungan yang diperoleh diperuntuk bagi aktiviti kebajikan.

Tambahnya, peruntukan RM35,000 disediakan tahun lalu bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali bersama kumpulan sasar dengan turut membabitkan anak yatim.

“Untuk empat bulan pertama ini, kita sudah belanjakan hampir RM20,000 termasuk pembelian barangan meraikan anak-anak kembali ke sekolah.

“Meskipun syarikat ini objektifnya keuntungan, tetapi kami percaya perkongsian dan kerja amal yang dilakukan akan menjadi penambah rezeki kepada hasil syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Jamuan Hari Raya dan Doa Selamat Cemerlang Sekuriti Perak di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 50 anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan di samping menerima sumbangan duit raya.

Tharmaya berkata, syarikat berkenaan mempunyai 250 kakitangan keselamatan dengan 150 daripadanya merupakan warga tempatan.

“Setiap daripada mereka diberikan latihan dan kursus yang secukupnya serta menepati keperluan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) agar dapat menyampaikan perkhidmatan dengan baik,” katanya lagi.