IPOH: Pas Perak mendesak siasatan menyeluruh dijalankan selain kenyataan rasmi dari kerajaan negeri atau Persekutuan berhubung insiden bunyi letupan dan gegaran di Ipoh, Isnin lalu.
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria mendakwa, bukan pertama kali kejadian itu berlaku, tetapi turut dikesan pada tahun 2012 dan 2018.
“Pas Perak bersama masyarakat khasnya penduduk sekitar bandar raya Ipoh yang inginkan penjelasan kerajaan dan pihak berautoriti berkaitan letupan misteri pada Isnin, 21 Oktober lalu.
“Ia suatu misteri yang tiada penjelasan pihak berautoriti sehingga kini.
“Mengikut sumber, kejadian letupan ini pernah berlaku pada tahun 2012, 2018 dan 2024.
“Ia juga direkodkan berlaku pada masa sama sekitar jam 11 pagi. Ini bermakna ia berlaku enam tahun sekali untuk kali ketiga.
“Jika perkara ini benar, misteri ini sesuatu yang besar dan perlukan kenyataan rasmi dari pihak autoriti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Razman berkata, Pas Perak mengikuti penafian dari pelbagai pihak terhadap teori letupan misteri tersebut.
Termasuk terkini dari pihak Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menafikan kemungkinan kesan super sonic susulan teori seorang pakar baru-baru ini.
“PAS Perak juga mengikuti penafian dari pihak Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG), Pejabat Daerah Tanah (PDT), Pasukan Gerak Am (PGA), Tentera Udara Di Raja (TUDM).
“Termasuk dari Akademik Tentera Udara (ATU), Meteorologi (METMalaysia) serta polis.
“Penafian pihak berkuasa yang berkaitan tidak membawa apa-apa makna selagi tiada kenyataan rasmi dari pihak kerajaan.
“Kenyataan rasmi ini penting untuk rujukan dan kebertanggungjawaban terhadap sebarang tindakan yang bakal berlaku.
“Pas Perak dengan mendesak agar suatu siasatan menyeluruh dilakukan dan kenyataan rasmi dari kerajaan negeri atau Persekutuan perlu dibuat.
“Ini bagi menjawab persoalan kejadian yang telah berulang kali berlaku dan kekal misteri yang meresahkan penduduk Perak khasnya Ipoh,” katanya lagi.
Isnin lalu, media melaporkan bunyi letupan dan gegaran sekitar jam 11 pagi di sekitar Ipoh sedikit sebanyak menggemparkan penduduk dan mencetuskan panik.
Malah, sehingga kini masih ramai yang berteka-teki apa yang berlaku sehingga menyebabkan bunyi kuat beserta gegaran itu.