Berniaga Sambil Bersedekah, Azno Katering Tawar Iftar Ramadan Termurah Di Ipoh

Berita Perak

KENAIKAN harga barangan mentah sekarang turut memberi kesan kepada golongan peniaga, termasuk mereka yang menawarkan perkhidmatan penyediaan makanan atau ‘catering’.

Kenaikan itu menyebabkan ramai penyedia makanan atau ‘caterer’ terpaksa menaikkan harga makanan, termasuk yang menawarkan Iftar Ramadan.

Berdasarkan semakan di media sosial, harga Iftar Ramadan yang ditawarkan di hotel-hotel di Perak adalah antara RM55 hingga ke RM138.

Malah, semakan harga yang ditawarkan di hotel-hotel di ibu kota Kuala Lumpur, ada yang mencecah hampir RM300 untuk dewasa dan lebih RM150 untuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, Azno Katering Sdn. Bhd. di Ipoh, Perak menawarkan harga RM38 untuk dewasa, RM33 untuk warga emas dan RM28 untuk kanak-kanak dengan menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Azno Katering menawarkan buffet Iftar Ramadan di Ayu Castle Wedding Palace, 39 Jalan Sultan Nazrin Shah, Ipoh.

Pengurus dan pemilik Azno Katering, Aznol Kamal Alias berkata, harga yang mereka tawarkan mungkin antara yang termurah di sekitar Ipoh.

Menurutnya, mereka menawarkan harga termurah kerana mengamalkan konsep berniaga sambil bersedekah untuk memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Lagi satu kelebihan di sini ialah ada ‘killer’ seperti siput sedut di samping daging masak hitam yang menjadi antara menu wajib yang diminati pelanggan.

“Insya Allah kita akan kekalkan harga Menu Rahman kerana kita mahu lihat pelanggan yang datang seronok untuk menikmati juadah yang disediakan,” katanya ketika ditemui sempena hari pertama Iftar Ramadan di Ayu Castle, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, mereka turut meraikan lebih 100 pelajar maahad tahfiz dari Tambun, penghuni rumah anak yatim dari Ampang dan pelajar Sekolah Kebangsaan Jelapang.

“Acara ni memang kita buat pada dua Ramadan setiap tahun sejak enam tahun lalu dan insya Allah kita akan teruskan di tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Azno berkata, tempat makan yang mereka sediakan boleh menampung sehingga 450 pelanggan pada satu-satu masa.

Selain itu, katanya, mereka juga menyediakan surau yang selesa untuk lelaki dan perempuan di samping tempat letak kereta yang luas.