Bekas tukang cuci jadi jutawan ekspres BSN ke 96

Berita Perak

IPOH: Bekas tukang cuci menerima ‘durian runtuh’ apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-96.

Mohd Nazri Abd Wazir, 61, berasal dari Parit, Perak, berkata dia tidak menyangka akan memenangi RM1 juta hasil simpanan secara konsisten dalam BSN SSP sejak tahun 2003.

Menurutnya, niat asalnya hanya sekadar menyimpan untuk kegunaan waktu terdesak dan tidak pernah menyangka akan dinobatkan sebagai pemenang.

“Mula-mula terperanjat apabila menerima panggilan daripada pegawai BSN pada 5 Februari lalu, nasib baik tak pengsan.

“Saya cuma percaya selepas pergi ke BSN Cawangan Parit untuk membuat pengesahan,” katanya selepas menerima replika cek yang diserahkan oleh Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil di sini, hari ini.

Mohd Nazri yang masih bujang berkata, dia merancang untuk membawa ibu yang berusia 84 tahun atau adiknya mengerjakan ibadah haji selain menampung perbelanjaan hariannya.

Sementara itu, pemenang cabutan ulang tahun BSN ke-50, Mohd Nasir Abdullah, 57, berkata dia berasa bertuah kerana memenangi RM50,000 selepas hanya enam bulan menyertai BSN SSP.

“Saya mula menyimpan sejak bujang lagi, namun sertai cabutan ini Jun tahun lalu, tak sangka boleh menang secepat ini.

“Wang ini saya akan menfaatkan untuk tiga anak yang masih belajar,” kata penjawat awam yang berasal dari Pasir Salak.

Seorang lagi pemenang hadiah RM50,000, Mahani Muhammad, 56, berkata, pada mulanya dia merasakan panggilan yang diterimanya datang dari scammer.

Guru sekolah rendah di Taiping itu mahu menggunakan hadiah kemenangan untuk berkongsi dengan dua anaknya.