Bekas juruteknik hadapi 20 lagi tuduhan rompak bersenjata, datangkan kecederaan

Berita Perak

IPOH: Seorang bekas juruteknik syarikat penyedia perkhidmatan internet didakwa di dua Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas 20 lagi tuduhan melakukan rompakan bersenjata pisau dan mendatangkan kecederaan di bank dan farmasi di daerah Ipoh, sejak 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Mohd. Sufian Wahab, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof dan Hakim Azizah Ahmad.

Pada prosiding di hadapan Hakim Hilmiah, tertuduh didakwa tujuh tuduhan melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau terhadap tujuh individu masing-masing sebanyak RM700, RM1,500, RM1,500, RM3,140, RM10,000, RM1,500 dan seutas gelang.

Pada prosiding di hadapan Hakim Azizah pula, dia didakwa bagi 13 pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau, rompakan berkumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Kesalahan dilakukan tertuduh itu membabitkan kerugian berjumlah RM29,510 selain pelbagai barangan kemas termasuk rantai, gelang, cincin, buah rantai, cincin batu jed dan seutas jam tangan jenama Seiko.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di beberapa buah bank dan farmasi di daerah Ipoh antara 3 Ogos 2022 hingga 25 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 392, Seksyen 392/397 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa-mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi dan Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Gheetal Kaur.

Pada 7 Februari lalu, Mohd. Sufian bersama seorang lagi lelaki didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan melakukan rompak dan samun berkumpulan di beberapa bank tahun lalu.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Pada 12 Januari lalu, media melaporkan dua lelaki disyaki kumpulan samun ‘Geng Pian’ yang aktif menyamun di Perak dan Kuala Lumpur sejak 2020 akhirnya tumpas apabila suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam dua tangkapan berasingan di Perak dan Pahang.