Bekas Exco Perak, G. Rajoo meninggal dunia

Berita Perak

IPOH: Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri G Rajoo, 86, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor, semalam.

Menurut anaknya, R Sundaram, 57, bapanya meninggal dunia kira-kira jam 3.35 petang kerana masalah jantung.

Katanya, upacara pengkebumian akan dilakukan di kediaman mereka di Taman Lim, di sini, bermula jam 11.30 pagi esok.

Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki dan dua perempuan hasil perkongsian hidup dengan Mendiang Puan Sri Radhamani yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Mendiang pernah menjadi Ahli Dewan Negara (1986-1990), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang 1990-2008 dan Exco Perak (1998-2008).

Selain itu, Mendiang juga merupakan Mantan Pengerusi MIC Perak dari tahun 1998 hingga 2008 dan pernah diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC.

Difahamkan, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran dijangka memberi penghormatan terakhir esok.