Bekalan ikan sepanjang Ramadan, Aidilfitri mencukupi, harga lebih stabil – LKIM

Berita Perak

BAGAN DATUK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan segar tempatan untuk bulan Ramadan dan Aidilfitri ini adalah mencukupi.

Malah, kata Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dijangka berlaku lambakan kerana tangkapan yang banyak selepas berakhirnya Monsun Timur Laut.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan harga ikan akan stabil dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengawal harga bahan makanan itu.

“Sekarang alhamdulillah musim monsun pun dah berakhir, jadi ikan banyak sebenarnya.

“Kalau kita pergi ke pelabuhan besar, contohnya di Kuantan, sampai berlaku lambakan, jadi rezeki nelayan tengah murah sekarang ni.

“Sebab tu insya Allah bekalan ikan untuk Ramadan dan Aidilfitri memang terjamin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Dewan Datuk Mohammad Jamrah, Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata, selain ikan segar, LKIM juga menyediakan stok ikan sejuk beku, Q-Fish sebanyak 90 metrik tan di samping 1,500 metrik tan lagi disediakan oleh pihak swasta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga ikan.

“Saya tekankan kepada para peniaga supaya tidak sewenangnya menaikkan harga ikan kerana apabila bekalan ikan banyak, sepatutnya harga ikan murah,” ujarnya.

Beliau berharap pihak KPDN akan membuat pemantauan untuk memastikan harga ikan stabil di samping penglibatan pelbagai kementerian dan agensi di bawah Majlis Tindakan Negara Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya yakin komitmen dan agenda Perdana Menteri yang mahu kesejahteraan rakyat itu diteruskan dengan memastikan bekalan makanan itu cukup, akan menjamin bekalan makanan atau ikan yang cukup, seterusnya memastikan harga terkawal,” katanya.