Bekalan air kembali pulih, Pulau Pangkor sedia terima semula pelancong- MB

Berita Perak

IPOH: Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku di Pulau Pangkor sejak awal bulan ini telah kembali pulih sepenuhnya.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu sektor pelancongan di pulau peranginan itu juga bersedia semula untuk menerima kadatangan pelancong.

“Masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca kepada isu berkenaan telah berjaya diselesaikan susulan langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan Lembaga Air Perak (LAP).

“Selain kerja-kerja pembaikan, LAP juga telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan,termasuklah meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum.

“Melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan, lori tangki air dalam mod siap sedia untuk digerakkan dan penyediaan tangki-tangki statik di lokasi strategik,” katanya pada Jumaat

Dalam pada itu, Saarani berkata, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan yang positif.

Manakala kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan telah pulih sepenuhnya.

“Para penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inapan yang terjejas akibat masalah bekalan air juga sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa.

“Walaupun situasi di Pulau Pangkor sudah kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutama sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, masalah bekalan air didakwa telah memberi kesan kepada kedatangan pelancongan di Pulau Pangkor sekaligus memberi kerugian kepada pengusaha-pengusaha perhotelan.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Sri Ganesh Michiel, beliau telah mendapat maklum balas daripada Pengusaha-Pengusaha Industri Perhotelan di Pulau Pangkor yang mengatakan mendapat kerugian berikutan apa yang didakwanya kegagalan pihak berwajib menyelesaikan krisis air itu.