Barangan keperluan Aidilfitri di Perak mencukupi

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan barangan keperluan seperti ayam, daging, ikan dan telur menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan adalah mencukupi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri bersama agensi terlibat seperti Jabatan Pertanian, FAMA dan SADC Perak akan mengambil langkah untuk memastikan bekalan keperluan mencukupi.

“Setakat ini kita berharap supaya perkara-perkara yang berlaku di masa lalu tidak akan berulang lagi.

“Sama ada bekalan daging, bekalan ayam, minyak, beras, beras pulut dan sebagainya mencukupi agar masyarakat dapat menikmati Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas program memasak bubur lambuk di Taj International College di sini, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, beberapa agensi juga akan mengadakan program jualan murah sebelum Aidilfitri bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan.

Beliau memberi contoh FAMA akan menganjurkan Jualan Agro MADANI Pra Syawal pada 5 April di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng.

Katanya, sempena jualan itu, seekor ayam akan dijual hanya RM10 seekor, berbanding harga asal RM18 di samping jualan kentang, bawang, biskut raya serta buah-buahan.

Selain itu, tambahnya, turut diadakan jualan murah di Lenggong pada 7 April yang menawarkan 2,500 ekor ayam yang dijual pada RM10 seekor.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berharap program memasak dan mengedarkan bubur lambuk dapat dijadikan acara tahunan.

Pengerusi Eksekutif TT Group, Tina Tajudin pula berkata, sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk diedarkan di 10 lokasi di sekitar Ipoh.

Menurutnya, program itu mendapat kerjasama daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan, termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Persatuan Ibu Tunggal, Persatuan Wanita Cekal Sg Siput, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (Kinta) Sosial dan Persatuan Sahabat Pejuang Kanser Perak.