IPOH: Peruntukan Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa negeri Perak dinaikkan dari RM2 juta kepada RM4 juta.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 7,000 mahasiswa anak Perak yang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
“Kadar bantuan berbeza mengikut peringkat pengajian, iaitu RM500 bagi pelajar diploma, RM700 ijazah sarjana muda, RM800 ijazah sarjana, dan RM1,000 doktor falsafah (PhD).
“Semua permohonan tertakluk kepada syarat kelayakan termasuk had pendapatan isi rumah serta Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum.
“Selain bantuan sara diri, kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Kecemasan Mahasiswa sebagai sokongan kepada pelajar yang berdepan kesulitan mendesak seperti kemalangan, masalah kesihatan serius, kehilangan harta benda atau musibah tidak dijangka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak, Bantuan Baucar Buku dan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng serta Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan.
Saarani menambah, bantuan itu diberikan kepada pemohon yang layak dengan kadar maksimum sehingga RM5,000.
Ia bergantung kepada keperluan kes dan tertakluk kepada pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, bersama Yayasan Perak, Pejabat Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Selain itu, katanya kerajaan negeri turut menyediakan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa dengan peruntukan sebanyak RM750,000.
Ia memanfaatkan 5,000 mahasiswa anak Perak dengan nilai bantuan RM150 setiap seorang.
Bantuan itu diselaraskan oleh Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak dengan sokongan PASAK.
Permohonan bagi ketiga-tiga inisiatif iaitu Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Bantuan Baucar Buku dibuka mulai 16 April 2025 menerusi laman sesawang rasmi www.eheyns.com.my.
Tarikh tutup permohonan bagi Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan pada 31 Mei, manakala Bantuan Baucar Buku 16 Jun.
Beliau berkata, program Jelajah AIM TVET Bersama Cikgu Saarani 2025 akan dianjurkan pada Sabtu, 19 April di Kompleks Belia Tapah.




