Banjir kilat: Bomba selamatkan pasangan suami isteri OKU

Berita Perak

TAIPING: Pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan setelah rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Salak Baru, Trong, di sini hari ini.

Banjir kilat dipercayai berlaku susulan hujan lebat berterusan pada petang Khamis.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 75 dan 52 tahun.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.52 petang, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong ke lokasi 5.05 petang.

“Berlaku kejadian banjir kilat melibatkan sebuah rumah yang berhampiran dengan sungai.

“Rumah mereka dinaiki air dengan kedalaman 0.7 meter dan terdapat pasangan suami isteri warga emas OKU berada dalam rumah tersebut.

“Bomba membuat kerja menyelamat dengan mengeluarkan mangsa berkenaan keluar ke kawasan selamat.

“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis yang membantu menghantar mangsa berpindah ke rumah saudaranya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Operasi yang membabitkan seramai enam orang anggota bomba itu tamat jam 5.21 petang.