BadDad MG perluas aktiviti bersama masyarakat, jelajah daerah Perak

Berita Perak

IPOH: Saban tahun, kalendar BadDad MG akan padat dengan susunan aktiviti bersama masyarakat, termasuk hari perayaan.

Selain itu, bajet sebanyak RM50,000 diperuntuk bagi melaksanakan program sepanjang tahun 2024.

Menurut Presidennya, Kamaluddin Shamil Yom Ahmad, jamuan hari raya Aidilfitri tahun kelima yang dianjurkan baru-baru ini, bukan sahaja menghimpunkan penunggang motosikal berkuasa besar.

Tetapi juga mengeratkan silaturahim bersama penduduk setempat.

“Kami akan menganjurkan aktiviti bukan saja untuk hari raya Aidilfitri, tetapi juga perayaan lain yang bersesuaian dengan masyarakat di Malaysia.

“Kos perbelanjaan kami tanggung sendiri untuk anjur pelbagai program, termasuk seperti hari ini.

“Kita dapat kumpulkan kira-kira 500 buah motosikal dan penunggang, bergantung kepada cuaca. Ada yang datang dari negeri lain seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui di jamuan raya BadDad MG di Restoran D’Jerat Route 44,Tasek di sini pada Ahad.

Kamaluddin menambah, untuk masa akan datang, aktiviti itu akan diluaskan dengan menyantuni asnaf serta anak yatim.

“Ahli kumpulan ini akan tunggang motosikal untuk program sedemikian. Untuk permulaan akan ke daerah-daerah di negeri ini terlebih dahulu memandangkan kita bertapak di Ipoh.

“Insya-Allah akan ada program besar di Ipoh yang akan dilancarkan, diharap akan ada usahasama SUK dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Kita akan pergi jauh lagi, mungkin negeri lain untuk anjurkan program lebih besar selepas ini,” katanya lagi.

Dalam jamuan raya itu, turut disampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.