Anggota polis tak mengaku salah tuduhan rasuah

Berita Perak

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung aktiviti memproses air ketum, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Md Irus, 32, yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang sebanyak RM10,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mendedahkan aktiviti pemprosesan air ketum lelaki berkenaan yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran makanan laut di Kampung Permatang, kira-kira jam 10.45 malam, 5 Mei 2021.

Anggota polis itu juga didakwa secara rasuah memperoleh suapan RM2,000 untuk dirinya daripada individu sama di sebuah stesen minyak di Desa Manjung Raya, Lumut, kira-kira jam 4.35 petang, 4 Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17(a) Akta sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Farhan Fadzil merayu agar jumlah dikurangkan atas alasan menanggung isteri yang tidak bekerja bersama dua orang anak masing-masing berusia enam dan dua tahun dengan gaji RM2,400 sebulan.

Menurutnya, tertuduh juga menerima gaji terakhir bulan ini memandangkan akan digantung kerja bermula esok selain memberi jaminan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana tidak pernah memiliki passport.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Taiping.

Mahkamah turut menetapkan 29 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.