IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, Amanah Perak turut memulakan persiapan awal menyusun jentera bagi memastikan calon yang bakal dinamakan BN kelak mengekalkan kemenangan di Ayer Kuning.
Ia sekali gus katanya mengukuhkan kerjasama dan semangat perpaduan antara BN-PH khususnya di Perak.
“Sokongan tidak berbelah bahagi ini antara lain bagi memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara dan diperkukuh.
“Bagi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat adalah keutamaan kepada negara pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya, Mesyuarat Pengurusan Amanah Perak yang diadakan pada Ahad telah mengarahkan sayap parti Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Pemuda dan Wanita Muda Amanah (WARDA) membuat perbincangan rasmi bersama BN.
Ia bagi menyusun strategi menyasarkan pengundi muda dan wanita sebagai kumpulan sasaran meraih undi dalam PRK itu nanti.
“Amanah Perak yakin Kerajaan Perpaduan di negeri ini boleh menjadi model terbaik dalam mempamer keutuhan kerjasama BN-PH dan manfaat yang diperoleh rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksana,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang disebabkan serangan jantung.
Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilaporkan akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN tersebut kepada SPR seawalnya Selasa ini.