Aktiviti BN sepanjang masa, tanpa kira musim pilihan raya – Saravanan

Berita Perak

TAPAH: Barisan Nasional (BN) sentiasa melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk rakyat sepanjang masa, tanpa mengira musim tertentu, khususnya pilihan raya.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan berkata bukan seperti pihak pembangkang yang hanya turun padang semasa pilihan raya umum atau kecil diadakan.

“Kita sentiasa mengadakan aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun dan tidak hanya mengadakan program semasa pilihan raya.

“Pihak pembangkang tidak jujur kerana mereka hanya anjurkan program khas untuk pilihan raya, apabila pilihan raya selesai, mereka akan lari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah kepada kira-kira 2,000 pelajar sekolah rendah membabitkan 39 buah sekolah di Parlimen Tapah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan berkata pihaknya optimis BN mampu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bulan depan berdasarkan maklum balas yang diterima dari pelbagai pihak.

“Pengundi luar dilihat mampu menjadi kemenangan besar untuk BN pada kali ini. Saya pasti kita berjaya dengan majoriti lebih besar kali ini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.