GOPENG: Sembilan orang, termasuk tiga warga Singapura cedera dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan di Kilometer 291.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, hari ini
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.44 tengahari.
Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Terdapat sembilan mangsa yang mengalami kecederaan, enam telah dirawat oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital berhampiran.
“Seorang mangsa dirawat oleh anggota ambulan Kementerian Kesihatan manakala dua mangsa lelaki hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di sini
Menurutnya, kesemua mangsa adalah pemandu dan penumpang dua buah kereta Perodua Myvi dan sebuah Viva manakala tiga warga Singapura menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai.
Bagaimanapun, katanya, kenderaan kelima telah beredar dari lokasi kejadian semasa jentera bomba pertama sampai kerana melibatkan pelanggaran sedikit sahaja.
Operasi turut dibantu enam anggota dari BBP Simpang Pulai.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Rozimi Mohamad Ali tamat jam 1.55 petang.
Foto JBPM