50 buah sekolah di Sungai Siput terima sumbangan RM256,000

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Semua 50 buah sekolah seluruh Parlimen Sungai Siput menerima sumbangan sebanyak RM256,000 daripada Ahli Parlimen kawasan itu, S. Kesavan.

Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Shing Chung, di sini, pada petang Sabtu yang diikuti dengan majlis berbuka puasa.

Kesavan berkata, sumbangan itu adalah selaras dengan komitmen beliau untuk memberi tumpuan kepada sektor pendidikan.

“Saya beri tumpuan kepada pendidikan kerana ia mampu merupakan kehidupan rakyat kepada tahap yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian itu.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Mohd Sabri Abdul Ghani dan pemimpin masyarakat.

Kesavan berkata, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan di dalam pembahagian peruntukan tahunan yang diterimanya.

Menurutnya, tahun lalu, pihaknya memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah hampir RM298,000 di samping hampir RM1 juta di bawah peruntukan projek mesra rakyat untuk membina tiga dewan terbuka sekolah.

“Setiap Ahli Parlimen mendapat peruntukan tahunan RM2 juta untuk projek mesra rakyat, maknanya 50 peratus daripadanya saya gunakan bagi pembangunan sekolah-sekolah di Parlimen Sungai Siput,” ujarnya.

Jelasnya, selain bantuan kepada sekolah-sekolah, baki peruntukan tahunan RM1.7 juta lagi beliau gunakan untuk memberi sumbangan kepada lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) di samping rakyat yang memerlukan kerana ditimpa musibah.

“Dengan peruntukan itu, saya akan teliti setiap permohonan, misalnya daripada NGO, agar sumbangan dapat benar-benar memberi impak dan manfaat kepada rakyat, bukan hanya suka-suka,” tambahnya.