IPOH: Seramai 41 orang penumpang termasuk pemandu terselamat setelah bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di kilometer (km) 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bas tersebut terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.
Bagaimanapun katanya, semua mangsa selamat.
Difahamkan kesemua mereka dari bas tersebut dalam perjalanan dari Kupang, Kedah ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan.
“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.28 pagi tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta sedan.
“Terdapat 42 orang mangsa kesemuanya, 41 dari bas dan seorang dari kereta, semuanya telah keluar dengan selamat,”
katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Ipoh dengan menggunakan dua unit EMRS dan bantuan ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi yang diketuai PBK II Muhamad Kharul Anuar Abd Wahid itu membabitkan seramai tujuh orang anggota.