SIMPANG PULAI: Empat lelaki termasuk tiga pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) cedera dalam nahas membabitkan sebuah lori tangki simen dan dua lori.
Kemalangan berlaku di kilometer (KM) 275.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pagi tadi, apabila dipercayai lori simen itu merempuh dua lori PROPEL.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.38 pagi.
Difahamkan, empat mangsa itu membabitkan tiga pekerja PROPEL dan seorang pemandu lori.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki simen melanggar dua lori 1 tan PROPEL.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas untuk membantu mengambil mangsa kemalangan jalan raya dengan jentera EMRS.
“Terdapat empat mangsa telah dikeluarkan orang awam. Kerja-kerja mengambil mangsa untuk dibawa ke hospital telah dilaksanakan,” katanya pada Isnin.
Katanya lagi, ketua operasi melaksanakan size-up dan membawa mangsa ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Operasi yang diketuai Hamizan Mustapha itu tamat pada jam 12.55 tengah hari.