34 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Talang

Berita Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah merampas sebanyak 34 set bubu naga atau bubu kambang di kedudukan sekitar 4.3 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, dekat sini, sekitar pukul 3 pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai itu dikesan pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi berkala.

Menurutnya, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bubu naga ini dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2 ribu itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985
kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Mohamad Shukri menegaskan, Maritim Perak akan menggandakan rondaan dan tidak akan
berkompromi mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Beliau turut mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan oleh kerajaan.