31 PATI ditahan dalam pelbagai operasi JIM Perak

Berita Perak

IPOH: Seramai 31 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam pelbagai jenis operasi selama dua hari oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak yang bermula pada Khamis di sekitar Kinta dan Perak Tengah.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, operasi itu dilaksana pada 2 dan 3 Januari oleh Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Perak.

Katanya, serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan yang telah dijalankan.

“Seramai 12 orang pegawai Imigresen terlibat, menerusi operasi ini 63 orang yang terdiri daripada warga Malaysia dan pelbagai warga asing diperiksa.

“31 warga asing telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing yang ditahan adalah terdiri daripada 23 lelaki, tujuh wanita, serta seorang kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, semua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63.

Iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal / berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang dikeluarkan.

JIM Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran PATI.

Katanya lagi, selain PATI, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.