IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 30 hari bermula 4 November depan bagi perbicaraan kes bunuh pelajar lelaki tingkatan lima yang dihadapi seorang pegawai kanan polis, Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula 4 November 2024 hingga 13 Januari 2025.
Terdahulu, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said dan Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M. Kuhan.
Hadir sama peguam pemerhati pihak pihak keluarga mangsa, Yasmin Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif.
Terdahulu, Afzainizam memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa kira-kira sebulan untuk memuktamadkan senarai saksi sebelum dokumen itu diserahkan kepada pihak pembelaan.
Menurutnya, setakat ini pihak pendakwaan mempunyai kira-kira 60 orang saksi, termasuk saksi pakar.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Julai depan untuk kedua-dua pihak menyerahkan afidavit masing-masing.
Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ipoh membuat keputusan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.