25 pelajar cemerlang SPM di Kuala Kangsar terima komputer riba

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Pemberian komputer riba kepada para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekitar Kuala Kangsar merupakan dedikasi untuk memastikan capaian teknologi dalam pendidikan diutamakan.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, penyerahan komputer riba kepada 25 pelajar itu juga merupakan peruntukan khas dari Pusat Khidmat Parlimennya.

Jelasnya lagi, antara sekolah yang terbabit termasuk Al Mizan, SMK STA, SMK Clifford, Tsung Wah, Sekolah Sayong, RPK, MCKK, dan Madrasah Idrisiah.

“Saya telah menghadiri satu majlis penyerahan komputer riba kepada 25 orang pelajar cemerlang SPM dari sekolah-sekolah di sekitar Kuala Kangsar.

“Peruntukan ini saya luluskan atas dasar kepentingan pendidikan yang perlu diutamakan.

“Sebagai pemimpin, saya percaya pendidikan adalah asas kepada kemajuan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap para pelajar dapat memanfaatkan kemudahan tersebut untuk melancarkan dan memudahkan lagi proses pembelajaran mereka.

Di samping serta membantu mereka mencapai kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada alat pembelajaran yang moden dan berkualiti.

“Semoga dengan bantuan ini, mereka dapat terus cemerlang dan mencapai kejayaan di masa depan,” katanya lagi.