13 PATI warga Thailand dihantar pulang ke negara asal

Berita Perak

IPOH: Seramai 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand telah dihantar pulang dari Depot Tahanan Imigresen Langkap ke negara asal mereka hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, pemindahan itu melibatkan empat lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

Katanya, kesemua PATI itu dalam lingkungan usia 17 hingga 44 tahun.

“Pemindahan PATI ke negara asal dilakukan melalui pintu masuk darat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

“Ia dibuat setelah mereka selesai menjalani hukuman denda dan penjara yang diputuskan oleh Pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI).

“Kerana didapati dengan munasabah telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan pemindahan ke negara asal di bawah akta dan peraturan sama,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal turut disenarai hitam bagi mencegah mereka memasuki negara ini semula.

Katanya lagi, program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras PATI.

Ujarnya, ia dijalankan oleh JIM Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Langkap.