Yayasan Perak terus tradisi edar bubur lambuk resipi Kuala Kangsar

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 600 bekas bubur lambuk resipi istimewa dari Kuala Kangsar diagihkan kepada orang ramai di sekitar Wisma Yayasan Perak di sini, dalam mengimarahkan bulan Ramadan.

Tradisi itu bukanlah julung-julung kali dilakukan kerana ia sudah diteruskan buat tahun keempat.

Yayasan Perak dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan dianjurkan pihaknya dengan diselaraskan Kelab Sukan dan Kebajikan Yayasan Perak.

“Program memasak bubur lambuk ini dilakukan secara gotong-royong dan diagihkan kepada orang ramai di sekitar sini.

“Program yang telah masuk tahun keempat ini lebih meriah berbanding tahun-tahun terdahulu, dan bubur lambuk ini nanti dijadikan juadah untuk berbuka puasa,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Pengurus Besarnya, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, ia sekali gus menjadi medan mengukuhkan ukhuwah antara kakitangan.

“Program bubur lambuk menjadi tradisi masyarakat Melayu bagi menyemarakkan bulan Ramadan, ini adalah salah satu aktiviti Kelab Sukan dan Kebajikan Yayasan Perak.

“Resipi bubuk lambuk dari Kuala Kangsar ini telah menjadikan program bubur lambuk Yayasan Perak lebih istimewa dan menarik saban tahun.

“Ia juga memberi peluang kepada Yayasan Perak menyantuni komuniti setempat sekali gus memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan,” katanya.

Ujarnya, Yayasan Perak akan terus bersama-sama kerajaan negeri dalam menyumbang kepada rakyat Perak dari segi program pendidikan dan pembangunan sosial.