Usahawan Bumiputera perlu kuasai teknologi digital

Berita Perak

IPOH: Penguasaan teknologi digital kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Menurut Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub, justeru itu usahawan, khususnya Bumiputera, disaran terus memperkasa keupayaan dalam bidang digital termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Dalam konteks negara ini, kita tiada pilihan. Kita perlu menguasai AI, pemasaran digital termasuk sistem pemasaran baharu seperti agentic marketing system yang semakin berkembang.

“Saya yakin usahawan Melayu mampu ke hadapan dalam bidang ini jika diberikan pendedahan dan sokongan berterusan,” katanya selepas merasmikan Program Forum Niaga Madani 2026 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di Kolej Poly-Tech MARA pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Presiden DPMM Amirhamzah Karim dan Yang Dipertua DPMM Perak Datuk Ir. Ts. Kamarullaffie Ahmad.

Menurut Mustaffa, Malaysia mempunyai kelebihan dalam menghadapi cabaran ekonomi global susulan hubungan perdagangan seimbang dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, India serta negara Timur Tengah.

“Saya yakin dengan pendekatan seimbang kerajaan, kita mampu menangani cabaran ekonomi ini dengan cara terbaik.

“INSKEN akan memainkan peranan proaktif membantu usahawan kita menghadapi cabaran ekonomi global,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata INSKEN sedang memperkemas data berkaitan tahap penglibatan usahawan Bumiputera dalam ekonomi digital bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan.

“Saya akan maklumkan perkara ini dalam mesyuarat pengurusan kanan INSKEN minggu depan supaya data berkaitan dapat diperoleh secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya, kerjasama strategik antara INSKEN dan DPMM akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Pusat Rujukan Inklusif Usahawan Madani (PRIME).

PRIME berfungsi sebagai pusat sehenti yang menggabungkan pelbagai agensi termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad bagi membantu usahawan mendapatkan bimbingan, maklumat serta sokongan ekosistem keusahawanan.

“Kita mahu pusat ini diwujudkan di setiap negeri dan diperluas hingga ke peringkat daerah supaya usahawan mempunyai akses yang lebih dekat dan berterusan,” katanya.