UPSI wujudkan jawatan Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan)

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewujudkan jawatan Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) bagi mengukuhkan pentadbiran terutama dari aspek jaringan industri dan pengkomersialan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI menyasarkan lebih banyak jalinan hubungan dengan pihak industri diadakan dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Menurutnya, selain menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mahasiswa UPSI juga menjalani latihan industri dengan syarikat korporat yang menjalin kerjasama dengan universiti itu.

“Justeru, UPSI bertindak proaktif dengan melantik tiga akademia yang sesuai dengan potensi untuk menjadi Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengumumkam Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan dilantik untuk Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Dr. Izzal Khairi Ramli (Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif ) dan Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi dari Fakulti Pembangunan Manusia, berkuatkuasa 16 Julai lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar pula mengucapkan tahniah kepada tiga akademia berkenaan yang diharapkan membawa kecemerlangan kepada fakulti masing-masing.

“Pelantikan ini adalah satu langkah penting untuk memperkukuh jaringan antarabangsa, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Industri akan mendapat manfaat dari hasil penyelidikan dan perundingan dalam bentuk pengkomersilan produk penyelidikan, inovasi dan kepakaran warga UPSI,” ujarnya.