TKB lancar Shibuya, tampil konsep Jepun

Berita Perak

IPOH: Pemaju hartanah terkemuka di Perak, Team Keris Berhad (TKB) melancarkan Shibuya (fasa 2), sebuah pembangunan unik yang menampilkan konsep negara Jepun.

Timbalan Pengerusi TKB, Datin Irene Lee berkata, sebanyak 322 unit rumah teres dua tingkat itu menggabungkan elemen mesra alam dengan keluasan 2,112 kaki persegi.

Menurutnya, unit-unit rumah Shibuya mempunyai enam bilik, termasuk dua bilik konsep (stor) dan empat bilik mandi.

“Melalui pembangunan mampan, kami akan membangunkan Shibuya dengan mengutamakan alam sekitar seperti stesen senaman luar, taman lanskap, taman permainan kanak-kanak dan pokok-pokok sepanjang laluan pejalan kaki,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Sesuai dengan penampilan konsep Jepun, Irene berkata, TKB telah membina sebuah monumen Sumo terbesar di Malaysia dengan ketinggian 18 kaki.

“Ia melambangkan kestabilan dan nilai-nilai teras dengan kakinya yang kukuh bertapak di tanah, menggambarkan makna harmoni, tuah, kekuatan melalui perpaduan serta kebahagian kepada semua makhluk hidup,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Shibuya adalah sebahagian pembangunan TKB di Ipoh Selatan yang turut melibatkan pembangunan projek komersial Ginza dan kediaman, Jia yang dilancarkan semasa Tahun Baharu Cina lalu.

“Shibuya dikelilingi pembangunan kediaman dan komersial sedia ada dan matang dengan populasi lebih 300,000 orang,” tambahnya.

Katanya, walaupun keadaan ekonomi sekarang turut melonjakkan harga bahan binaan, tetapi TKB sedia berkongsi kos dengan pembeli untuk memastikan harga yang berpatutan.

“Setiap perniagaan sudah tentu mahukan keuntungan tetapi kami bersedia berkongsi kos dengan pembeli dengan mengawal margin keuntungan supaya tidak terlalu membebankan pembeli,” jelasnya.
Shibuya menawarkan unit-unit rumah dengan harga RM 568,800 dan ke atas yang dijual mulai 20 Oktober.