Tiga lelaki bersenjata rompak kedai emas RM390,000

Berita Perak

IPOH: Tiga lelaki bersenjata merompak kedai emas di sebuah pasar raya di kawasan Menglembu pada Jumaat dan melarikan barang kemas RM390.000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung rompakan itu pada 1.25 petang.

Menurutnya, siasatan awal dilokasi mendapati tiga suspek lelaki warganegara tempatan dan bertopeng telah memasuki premis berkenaan dan melarikan sejumlah barang kemas berupa rantai dan subang, dianggarkan bernilai RM390,000.

“Suspek bersenjata menyerupai sepucuk pistol dan sebilah parang sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna puteh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian dan pihak polis sedang menggiatkan usaha untuk mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rompakan bersenjata.

Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar tampil memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan lanjut.