Tiga keluarga, tiga kisah hidup di Parit Buntar dibantu

Berita Perak

PARIT BUNTAR: Tiga keluarga dengan kisah hidup masing-masing disantuni, diziarah serta diberikan sumbangan sempena Jelajah Gerak Generasi Baru (GGB) di daerah Kerian.

Rumah pertama di Kampung Tanah Kebun menemukan pasukan GGB yang diketuai Tina Tajuddin dengan remaja autisme, Muhd Hafiz Ahmad Rizal, 18.

Muhd Hafiz merupakan anak sulung dari lima beradik dan disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) sejak usia 4 tahun.

Bapanya meraih pendapatan dengan mengusahakan bendang dan kerja kampung, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

Rosnah Abdul Hamid, 41, berkata, dia dan suami ada memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan mendapat jawapan tidak lama lagi.

Menurut Penghulu Mukim Parit Buntar, Zarol Hisham Mohamad Kadir, pihaknya akan memantau perkara itu dan berusaha untuk mendapatkan bantuan e-Kasih bagi remaja tersebut.

Sementara itu, di rumah persinggahan rumah kedua dekat Kampung Jalan Terusan, Tina dan pasukannya menyantuni keluarga yang mempunyai empat orang anak.

Mohammad Ismail, 43, juga membuat kerja kampung dan mengambil upah dari kilang, manakala isterinya suri rumah.

Empat anak mereka berusia 17 hingga 7 tahun.

Lokasi terakhir penyampaian bantuan tanggungjawab korporat sosial (CSR) di Kampung Titi Serong.

Pasukan GGB disambut oleh Zurina Ahmad, 40, yang menderita sakit saraf sehingga menyebabkan penglihatannya terjejas.

https://kelabwanitaikon.com/vote-awim2425/ Jangan lupa Undi Wanita IKON PERAK sebagai IKON Wanita Malaysia

Zurina berkata, dia dan suami Muhamad Helmi Muhamad Amin, 44, menjana pendapatan dengan membuat dan menjual kuih kecil-kecilan.

“Sejak kecil memang ada sakit saraf, makin berusia makin tidak nampak dan samar-samar sahaja.

“Kalau buat kerja rumah atau kuih, suami yang banyak bantu sebab saya tidak nampak dengan jelas.

“Ada rujuk dengan doktor dan diberitahu tiada ubat, kalau buat rawatan atau pembedahan dikhuatiri akan buta terus,” katanya yang dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Difahamkan mereka ada menerima bantuan sebanyak RM450 menerusi skim OKU bekerja.

Ziarah dan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat memberikan semangat dan dorongan kepada keluarga berkenaan untuk tabah meneruskan kehidupan.