IPOH: Deretan bilik darjah di tingkat tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat di Ipoh, terbakar dalam kejadian pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat awal pada jam 11.05 pagi mengenai kebakaran itu yang melibatkan blok D yang menempatkan bilik seni itu.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan, sepasukan 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih dan Batu Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran melibatkan bangunan kelas A tingkat 3 blok D, bahagian bumbung 7 bilik dengan anggaran keluasan 20 kaki X 150 kaki.
Anggaran kemusnahan kebakaran sekitar 30 peratus dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Antara bilik yang terlibat ialah tiga kelas pembelajaran, sebuah bilik khas, sebuah studio seni dan dua setor.
Setakat ini, seramai 37 anggota dari BBP Pasir Putih, BBP Batu Gajah dan BBP Simpang Pulai terlibat dalam operasi pemadaman
Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, Pasir Pinji, Pusing dan Pekan Baru.


