IPOH: Tiga bilik darjah, sebuah makmal sains, setor dan kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar, Manjung, hampir musnah dalam kebakaran, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.52 pagi.
Menurutnya, sebaik jentera tiba di tempat kejadian, didapati keadaan api tidak marak dan keadaan terkawal.
“Ketua operasi membuat pemeriksaan (size-up) dan mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman.
“Ketika kejadian, hanya terdapat beberapa orang guru dan pelajar yang berada di sekolah tersebut namun tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan,“ katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sabarodzi berkata, kebakaran menyebabkan kemusnahan kira-kira 70 peratus.
Menurutnya, seramai 26 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar, BBP Sitiawan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar, PBS Pantai Remis dan Bomba Komuniti Manjung terlibat dalam operasi pemadaman.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) II Mohd Zaki Mokhtarmin tamat sepenuhnya jam 1.59 petang.
Sementara itu, media difahamkan sekolah tersebut mempunyai seramai 32 orang murid dan 13 orang murid.
Ketika kejadian, murid-murid yang terlibat telah dibawa oleh guru-guru ke tempat yang selamat.