IPOH: Sistem Perpustakaan Berpusat Politeknik dan Kolej Komuniti serta Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC yang dilancarkan hari ini menyasarkan 500,000 pengguna menjelang tahun 2035.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Muhamad Rumzi Mamat berkata, ketika ini sistem itu bakal memberi manfaat kepada lebih 100,000 pengguna dalam usaha membudaya digitalisasi di dalam ekosistem politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).
Menurutnya, sistem itu yang dibangunkan menggunakan sistem sumber terbuka KOHA, adalah
langkah strategik ke arah mewujudkan perpustakaan digital bersifat inklusif dan mampan.
“Sistem ini bakal memberikan kemudahan carian bahan bacaan, akses kepada repositori kandungan tempatan serta memperkasakan budaya digitalisasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran sistem itu di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini.
Di samping itu, katanya, Data Dashboard Aplikasi iPOLYCC pula merupakan perisian terkini pengurusan data secara ‘real time’ berkaitan POLYCC yang menyediakan maklumat terkini institusi seperti bilangan pelajar, statistik kakitangan, serta data pengurusan institusi secara komprehensif.
Menurutnya, peluncuran sistem dan data itu adalah langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendigitalan serta kesediaan POLYCC menghadapi cabaran masa depan dalam memacu kecemerlangan pendidikan teknikal dan vokasional negara.
“Perancangan ini telah bermula pada suku keempat 2021 dan tempoh pelaksanaan projek berdasarkan siling yang diturunkan adalah sehingga 2024 bagi tahun akhir pelaksanaan,” ujarnya.
Muhamad Rumzi berkata, usaha memperkasa transformasi digital sektor pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Menurutnya, sistem itu akan memberi manfaat kepada 36 politeknik dan 105 kolej komuniti di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, sistem itu adalah satu inovasi yang bukan sahaja mendukung hasrat kerajaan untuk pendigitalan maklumat, tetapi juga memperkukuhkan usaha dalam merealisasikan sistem pendidikan yang cekap, inklusif, dan berdaya saing.
“Saya percaya sistem ini bukan sahaja akan memudahkan akses kepada maklumat dan data yang
relevan tetapi juga akan menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi kita,” ujarnya.
Katanya, kejayaan mengembangkan jaringan maklumat secara digital bukan sahaja menjadi lambang kepada kesungguhan untuk memajukan sistem pendidikan negara, tetapi juga bukti kepada daya saing dalam menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0.