Remaja lemas di Sungai Pecah Batu didapati jatuh tergelincir ketika seberang sungai

Berita Perak

TAIPING: Remaja lelaki yang dilaporkan lemas setelah mandi-manda bersama rakan di Sungai Pecah Batu, Trong, di sini petang semalam didapati jatuh tergelincir ketika menyeberang sungai.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail, siasatan awal mendapati mangsa, Muhammad Aqif Mikhail Ali Arafat, 15, mandi di sungai bersama dua rakannya.

Setelah itu, mangsa jatuh tergelincir semasa menyeberang sungai lalu dibawa arus deras.

“Polis menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.27 petang memaklumkan berhubung kejadian lemas di situ.

“Lalu, polis bersama bomba dan petugas Klinik Kesihatan Trong bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Nasir berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan bantuan pertolongan cemas melalui resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan, namun mangsa tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan maut setelah pemeriksaan dilakukan oleh pegawai kesihatan,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi khususnya sungai supaya memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Katanya, langkah keselamatan sewajarnya diambil supaya tidak berlaku perkara tidak diingini terutama dengan kejadian kepala air yang sering terjadi semasa musim hujan.

Pada Sabtu, media melaporkan, kegembiraan beberapa remaja mandi-manda di Sungai Pecah Batu, Trong berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.