Ramasamy perkukuh akar umbi parti, ketengah isu, aspirasi masyarakat India

Berita Perak

IPOH: MIC Negeri Perak di bawah kepimpinan baharu pengerusinya, Tan Sri M. Ramasamy akan memperkukuh akar umbi parti tersebut, di samping memenuhi aspirasi masyarakat India.

Baru-baru ini, Ramasamy telah mengadakan kunjung hormat ke atas Menteri Besar Perak, merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam kunjung hormat itu, beliau turut memberi pencerahan mengenai agenda dan hala tuju MIC Perak di bawah kepimpinannya.

Turut disentuh, isu dan aspirasi masyarakat India di Perak yang memerlukan tindakan kerajaan negeri.

Sementara itu, Saarani menyambut baik segala inisiatif dan usaha MIC Perak dalam memperkukuh parti serta menyantuni masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan sentiasa menyokong agenda tersebut dengan semangat setia kawan BN.

Pada Ogos lalu, Bendahari Agung MIC Tan Sri M. Ramasamy dilantik sebagai Pengerusi MIC Perak menggantikan Datuk V. Elango bagi penggal 2024-2027.

Beliau dilantik ketika Konvensyen Perwakilan MIC Negeri Perak pada 4 Ogos.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata Ramasamy bukan watak baharu dalam parti itu malah berpengalaman luas dalam arena politik di Perak termasuk pernah menyandang jawatan pengerusi sewaktu era kepimpinan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Ramasamy telah memulakan siri perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan di seluruh Perak sebagai langkah pertama memperkasa akar umbi parti.