Program Sanjung Perak Sejahtera 2030, Hotel Casuarina @ Meru tawar diskaun pada warga emas

Berita Perak

IPOH: Warga emas di Perak kini berpeluang menikmati percutian eksklusif dengan harga yang lebih mampu milik melalui Program Sanjung Perak Sejahtera 2030.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program itu menawarkan penginapan pada harga RM180 semalam dan diskaun 15 peratus untuk hidangan ala carte di Coffee House Hotel Casuarina @ Meru.

Menurutnya, program itu adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam meraikan warga emas di Negeri Perak.

“Inisiatif yang diketengahkan ini adalah bermatlamat memupuk semangat kasih sayang antara generasi, yang menggalakkan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas Negeri Perak 2024 dan Program Sanjung Perak Sejahtera 2030, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha sedemikian akan dibuat berterusan dan diperluaskan oleh kerajaan negeri dalam memperkasakan sokongan dan elemen inovasi sosial untuk kesejahteraan golongan berkenaan.

“Melalui kerjasama strategik antara PKNPk, Casuarina Hotel dan Sekretariat Wanita Perak, Program Sanjung Perak Sejahtera 2030 bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi pelancongan tempatan dan menjadikan Negeri Perak sebagai destinasi pelancongan mesra warga emas,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Casuarina @ Meru, Sabrina Ahmad Tah berkata, pembelian baucar itu sah selama enam bulan daripada tarikh pembelian dan hanya 300 baucar disediakan untuk promosi itu.

“Untuk menebus, sila layari laman Facebook rasmi Hotel Casuarina@Meru atau laman sesawang www.casuarinahotels.com.my manakala pautan borang atas talian Google juga boleh didapati di laman Facebook dan laman sesawang Sekretariat Wanita Perak,” katanya.