Program Penuaian STR Diperluas Ke Pedalaman Semenanjung

Berita Perak

TAPAH: Susulan keberkesanan program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak sejak tahun 2019, kerajaan telah meluaskan program penunaian tahun ini ke kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia, khususnya melibatkan masyarakat Orang Asli.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peluasan penunaian STR merupakan antara usaha kerajaan memantapkan penyampaian awam dengan memastikan bantuan sampai kepada masyarakat yang amat memerlukan, seperti Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menurutnya, program rintis penunaian itu diselaraskan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

“Ini mengikut skim-skim yang kita ada di Sabah dan Sarawak di mana untuk golongan ni, mereka ada pilihan, untuk mengeluarkan bantuan yang diberi melalui kemasukan dalam bank akaun ataupun penerimaan dari segi tunai.

“Ini penting dibeberapa tempat yang ada kemungkinan tidak ada fasiliti-fasiliti bank, jadi penerimaan tunai amat menolong mereka yang memerlukan pertolongan.

“Di bawah program untuk Orang Asli, dijangkan ada dalam 82,000 masyarakat Orang Asli yang berdaftar bawah STR yang akan mendapat bantuan daripada segi ini dan jumlah bantuannya dianggarkan RM82.4 juta.

“Dari jumlah ini, kita tahu sekarang 14,000 orang tidak ada bank akaun,” katannya dalam sidang media selepas memantau pelaksanaan program rintis penunaian tersebut di Dewan Jelutong, Hutan Lipur Kuala Woh, Tapah, Perak, hari ini yang melibatkan 409 penerima STR Orang Asli.

Amir Hamzah menyifatkan program itu sebagai satu lagi kejayaan kerajaan dalam usaha membantu mereka yang rentan, selaras dengan usaha untuk menoktahkan kemiskinan dalam negara.

Dalam masa sama, katanya, program itu juga boleh meninggikan kecelikan kewangan golongan berkenaan.

Selepas di Daerah Batang Padang, program penunaian itu akan disusuli dengan lokasi-lokasi lain masyarakat Orang Asli antaranya, Lipis dan Rompin di Pahang, Gua Musang di Kelantan dan Hulu Perak di Perak sepanjang tahun 2024.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah ditambah baik untuk tahun ini dengan meningkat kadar bantuan, bilangan penerima serta memperluaskan barangan asas.

Katanya, mulai tahun ini, penerima boleh membeli ubat-ubatan, barangan kebersihan diri dan peralatan sekolah.

Pelaksanaan program SARA secara keseluruhan untuk tahun ini melibatkan 700,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar di mana penerima diberi kredit sehingga RM100 sebulan melalui MyKad untuk membeli barangan keperluan asas.