TAPAH: Barisan Nasional (BN) tidak pernah meragui kesetiaan dan sokongan masyarakat Orang Asli kepada calon parti itu dalam menghadapi pilihan raya.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejak dari dahulu, kumpulan masyarakat itu tahu bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada mereka.
“Mereka tahu kita sentiasa memberi perhatian dan cuba sedaya upaya untuk membangunkan mereka.
“Jadi sebab itu kita harap mereka akan terus memberi sokongan kepada calon daripada BN dan Kerajaan Perpaduan supaya kita dapat terus membuat kebajikan ada kesinambungan membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Pejabat JAKOA Batang Padang / Muallim di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh, dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Allahyarham Ishsam Shahruddin
“Mereka sering turun padang dan seperti biasa wakil rakyat BN tidak lupa kepada masyarakat Orang Asli.
“Saya percaya wakil rakyat baru nanti pun daripada BN, kita akan terus berikan perhatian kepada masyarakat Orang Asli,” ujarnya.
Saarani berkata, beliau sendiri sering berjumpa dengan Tok Batin Orang Asli untuk mendengar rintihan mereka, seterusnya mencari jalan penyelesaian.
DUN Ayer Kuning mempunyai 2,156 pengundi dari kalangan masyarakat Orang Asli.
Pada majlis itu, Saarani turut menyampaikan cek bantuan, hadiah pertandingan dan bakul makanan kepada 217 penerima.





