Polis terima 443 permohonan permit jual bunga api, mercun di Perak

Berita Perak

IPOH: Polis telah menerima 443 permohonan permit untuk menjual bunga api dan mercun di seluruh Perak sehingga 22 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 217 permohonan telah diluluskan dan satu ditolak.

“Satu tidak diluluskan itu kerana pemohon mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Polis ke 217 peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, pada Isnin.

Menurutnya, baki 225 lagi permohonan masih dalam proses semakan.

Katanya, pihak polis akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk membenteras penjualan bunga api dan mercun tanpa permit.