Polis tahan lelaki, buka kertas siasatan fitnah anggota polis terkorban insiden serangan balai polis Ulu Tiram

Berita Perak

TAPAH: Polis telah membuka kertas siasatan dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun susulan hantaran berbaur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan balai polis Ulu Tiram, Johor.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung perkara itu dari waris arwah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pada 29 Ogos lalu.

Katanya, terdapat satu hantaran di ruangan komen media sosial Facebook milik seorang warga tempatan yang berbaur fitnah dan telah menggores perasaan waris keluarga arwah.

“Pada 5 September 2024 jam 8 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah menahan suspek yang
merupakan pemilik akaun Facebook tersebut.

“Suspek ditahan di sebuah rumah di Masai, Johor dan polis turut merampas satu unit telefon bimbit.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula 6 hingga 9 September untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka selepas bapa mangsa berasa arwah anaknya dan PDRM difitnah,” katanya dalam kenyataan awal pagi Sabtu.

Mohd Naim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.

Menerusi komen di ruangan Facebook yang tular, pengguna dengan nama Wan Qayyum menulis “tu yang jadi kes balai ulu tiram tu yang dua anggota mati sebab masa hidup pau duit tepi” dan “fitnah apa kalau dah kuat makan rasuah”.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul.