TAIPING: Kerajaan negeri melululuskan peruntukan sebanyak RM250,000 tahun ini bagi Projek Pertanian Bandar di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di sini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun, ia merangkumi ternakan ikan keli dan tanaman sayuran seperti kangkung serta bayam.
Tambahnya, ia menggunakan sistem akuaponik selain penanaman cili dan bawang.
“Penggunaan sistem akuaponik adalah pendekatan lestari dan berkesen yang tidak memerlukan baja kimia malah menjimatkan air serta mampu meningkatkan hasil.
“KEMTA turut giat melaksanakan pelbagai inisiatif lain melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Agensi Antidadah Kebangsaan termasuk penanaman durian, penternakan kelulut,
tanaman kontan, dan akuakultur air tawar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek berkenaan di KEMTA semalam.
Beliau menambah, KEMTA turut menghasilkan ternakan ikan keli untuk dibekalkan sebanyak 10 tan sebulan kepada beberapa penjara di Perak.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Perak Penolong Kanan Komisioner Nazri Mohamad berkata, projek pertanian bandar itu diusahakan oleh 30 prospek yang dipantau pegawai penjara.
“Saya percaya dengan teknologi ini, para prospek akan mendapat manfaat besar dalam membina kemahiran serta membentuk perspektif baharu mengenai pertanian moden,” katanya.




