TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Calon BN diwakili Setiausaha Bahagian UMNO Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, manakala PN mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Tapah, Abd Muhaimin Malek dan PSM pula diwakili Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS.
Pegawai Pengurus Pilihanraya PRK N48 Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori memaklumkan menerima pencalonan terbabit dan tiada kertas penamaan calon yang ditolak.
“Dengan ini saya mengumumkan calon-calon yang disahkan bertanding dalam bahagian Pilihanraya Negeri N48 Ayer Kuning adalah seperti yang berikut.
“Yang pertama Dr Ustaz Yusri Bakir dari Barisan Nasional., kedua Ustaz Muhaimin dari parti Perikatan Nasional dan ketiga Bawani KS parti PSM.
“Bagi maksud pilihanraya ini, hari mengundi awal akan diadakan pada 22 April 2025, Selasa dan hari mengundi pada 26 April 2025, Sabtu.
“Pusat-pusat mengundi akan dimaklumkan seperti di Borang 8 notis pilihan raya yang dipertandingkan yang akan diwartakan dan dipamerkan di pusat-pusat mengundi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau membuat pengumuman itu sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah, pada 10.24 pagi Sabtu.
Ahmad Redhauddin mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon PN, Abd Muhaimin, pada 9.01 pagi disusuli calon BN, Mohamad Yusri pada 9.06 pagi dan calon PSM, Bawani KS, 9.15 pagi.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Ishsam Shahruddin, meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.




