CHEMOR: Kerisauan hampir setahun penduduk di sekitar Kampung Ulu Kuang, di sini berhubung gangguan harimau belang yang dinamakan Yop Kuang, akhirnya berakhir apabila ia berjaya diperangkap hari ini.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Nor Hani Abdul Samat berkata, kehadiran harimau itu berjaya dikesan menerusi perangkap kamera semalam.
Ujarnya, aduan mengenai gangguan harimau jantan berusia sekitar enam tahun itu diterima sejak Khamis lalu dari penduduk kampung tersebut.
“Orang kampung menyatakan ada satu bangkai lembu yang dijangka dibaham oleh harimau.
“Jadi pasukan Perhilitan kami terus ke lokasi dan mendapati aduan itu berasas, memang ada satu bangkai lembu yang ada kesan gigitan harimau.
“Pada 11 pagi tadi apabila staf Perhilitan membuat pemeriksaan dan kita dapati telah masuk seekor harimau belang hasil pemasangan perangkap semalam.
“Kita sudah buat pemeriksaan, harimau tersebut adalah harimau jantan dengan berat 156 kilogram dan dianggarkan berusia enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Ulu Kuang, pada Sabtu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Hamdan Ishak berkata, dengan tertangkapnya harimau itu, maka tidak timbul lagi sebarang kerisauan dan trauma kepada penduduk.
Katanya lagi, sebelum ini banyak kebun sawit dan getah yang ditinggalkan susulan kebimbangan penduduk dengan kehadiran haiwan tersebut.
“Tertangkapnya harimau ini jadi penduduk kampung rasa bebas macam merdeka, jadi tak ada gangguan yang ditakuti.
“Sebelum ini kalau sebelah malam tidak boleh keluar sebab gangguan harimau, ia hampir dengan rumah penduduk di sini.
“Kami pun rasa sangat gembira dan terima kasih sekali lagi kepada pihak berwajib terutamanya Perhilitan,” katanya.